Kawasan permainan merangkumi gelanggang permainan dan zon bebas.
Gelanggang permainan adalah satu segi empat yang berukuran 16m x 8m
dikelilingi oleh satu zon bebas yang berukuran minimum 3m lebarnya dari
tepi gelanggang permainan dan 7m tinggi dari permukaan permainan.
Garisan Gelanggang Permainan
Gelanggang permainan ditandakan oleh garisan yang lebarnya 5sm. Garisan
ini ditandakan oleh dua garisan tepi dan dua garisan hujung. Kesemua garisan
ini termasuk dalam ukuran gelanggang permainan.
Dua garisan yang lain ialah garisan tengah dan garisan serangan. Garisan
tengah berukuran 8m panjangnya dan terletak tepat di bawah jaring manakala
garisan serangan dilukis 2.7m dari paksi garisan tengah menandakan zon
depan.
Zon-Zon dan Kawasan
Zon Depan
Zon ini dihadkan oleh paksi garisan tengah dan belakang garisan serangan.
Zon depan dianggap sebagai pemanjangan menjangkaui garisan tepi hingga
zon bebas.
Zon Belakang
Zon belakang pula dihadkan dari belakang garisan serangan (tidak termasuk
garisan serangan) hingga ke belakang garisan hujung.
Zon Servis
Zon servis ialah kawasan yang lebarnya 8m di belakang garisan hujung. Zon
servis dihadkan oleh 2 garisan pendek setiap satu 15sm panjang dan dilukis
20sm ke belakang garisan hujung sebagai pemanjangan garisan tepi.
Zon Penggantian
Zon ini dihadkan antara garisan serangan dengan meja pencatat skor.
Kawasan Memanaskan Badan
Berukuran 3m x 3m terletak pada kedua-dua penjuru bersebelahan bangku
di luar zon bebas.
Kawasan Penalti
Berukuran 1m x 1m dengan sebuah kerusi terletak di kawasan kawalan di luar
garisan hujung.
Petikan Undang-Undang Yang Berkaitan
Objektif permainan ini bertujuan untuk menghantar bola melepasi jaring
serta mematikan bola di gelanggang pihak lawan dan menghalang usaha
yang sama oleh pihak lawan. Setiap pasukan mempunyai tiga pukulan untuk
menghantar balik bola itu (tidak termasuk sentuhan menghadang).
Pengiraan mata
Setiap pasukan mendapat mata setiap kali ia berjaya mematikan bola atau
pihak lawan melakukan kesilapan. Jika pasukan yang menerima servis
memenangi satu rali, pasukan mendapat servis dan juga satu mata. Setiap
perlawanan dimainkan berdasarkan 2 set terbaik daripada 3 set (Best of
3) dengan kiraan mata rali 25 mata bagi set pertama dan set kedua (perlu
memperoleh kelebihan 2 mata jika seri pada mata 24-24) manakala bagi set
penentuan, iaitu set ketiga, ia dimainkan dengan kiraan mata rali 15 mata
(perlu memperoleh kelebihan 2 mata jika seri pada mata 14-14). Untuk set
penentuan, pasukan bertukar gelanggang apabila mana-mana pasukan
mencapai mata 8.
Putaran
Apabila pasukan yang menerima servis memenangi hak untuk membuat
servis, semua pemain mesti memutar satu kedudukan mengikut putaran
jam: pemain di posisi 2 berputar ke posisi 1 untuk membuat servis, pemain
posisi 1 akan berputar ke posisi 6 dan seterusnya.
Pemain Libero (Bab 6 Peraturan FIVB)
- Setiap pasukan boleh mendaftarkan satu atau dua orang pemain Libero yang memakai jersi yang berlainan warna daripada jersi pasukan.
- Pemain Libero boleh menggantikan mana-mana pemain barisan belakang
dan digantikan dengan pemain asal apabila bergerak ke kedudukan
hadapan. - Pemain Libero tidak boleh membuat servis, menghadang, menyerang
dengan bola di atas paras jaring atau mengumpan atas kepala semasa
berada di zon depan untuk serangan.
Setiap pasukan akan kehilangan rali jika satu daripada perkara yang berikut
berlaku :
- Bola menyentuhi lantai dalam gelanggang permainan sendiri.
- Bola menyentuh seseorang pemain dan keluar dari gelanggang.
- Bola dimainkan melebihi 3 kali kecuali menghadang.
- Bola disentuh oleh pemain yang sama sebanyak 2 kali berturut-turut.
- Seorang pemain menyentuhi jaring simpai / pita putih atas jaring.
- Seorang pemain melintasi garisan tengah dan masuk ke gelanggang pihak lawan.
- Seorang pemain tidak boleh memegang, membawa atau membaling bola.
- Seorang pemain barisan belakang merejam bola atas paras jaring dalam kawasan serangan 3m.
- Libero merejam bola atas paras jaring atau berusaha untuk menghadang di jaring.
- Libero mengumpan di kawasan serangan 3m untuk perlakuan rejaman.