PENGENALAN

Kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan
pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk
masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini
dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan,
Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai
matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.
Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran
dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan
gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan
dengan ilmu dan amalan Pendidikan Jasmani bagi membentuk
sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup.
Kurikulum Pendidikan Jasmani yang terancang dan persekitaran
yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran
bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum.